Dalam 4-5 tahun lepas, saya dipelawa makan tengah hari dengan seorang usahawan yang seorang ini.
Makan di sebuah restoran biasa sahaja. Selepas habis semua mesyuarat dan kena silat dan lempang kerana banyaknya kesalahan, beliau ajaklah kami pergi makan.
Di restoran tersebut, beliau tanya kami anak berapa, emak ayah masih ada atau tak, dan banyaknya hal keluarga. Berbeza semasa mesyuarat, kena balun dan tibai tentang kerja.
Sedang asyik makan dan bersembang, datang seorang makcik menjual kerepek. Makcik itu cakap “ada banyak jenis kerepek ni dik. Belilah, boleh makcik balik awal sikit hari ini.”
Jawapan dari usahawan tersebut ialah:
“Makcik dah makan?”
Makcik itu menggeleng. “Gini, saya beli semua, dah tak banyak dah tu. Ini budak-budak ini boleh habiskan. Makcik duduk. Kita order makan.”
Makcik itu menolak-nolak tak mahu makan. Segan katanya. Sesudah dipujuk, akhirnya makcik itu setuju.
Duduklah beliau seorang diri di meja yang berasingan dengan memesan nasi goreng ayam dan teh o panas.
Kami habis makan, bersurailah dan masing-masing pulang.
Sekitar bulan lepas, saya terserempak dengan usahawan tersebut di tempat parking sebuah kompleks beli belah, terkejut saya beliau masih boleh ingat memandangkan pertama kali jumpa dulu saya ini sekadar orang yang bawa beg dan tukang tulis nota sahaja.
Beliau tanya saya bisnes bagaimana, semua ok atau tidak dan sebagainya. Saya jawab alhamdulillah alhamdulillah semua ok.
Dalam banyak-banyak bersembang, saya dapat nasihat ini dari beliau “banyak-banyak beri hadiah, jamu orang makan, bayar zakat dan sedekah Khairul. Itu kunci kepada banyaknya pintu rezeki yang akan kita jumpa. Utamakan keluarga dan paling penting dalam rumah dulu.” Saya angguk sahaja, bersalam kemudian berpisah di situ.
Kelmarin, saya bermesyuarat dengan sebuah syarikat mega negara yang nak bangunkan sosial media CEO, CSO, dan para duta mereka termasuk page bisnes dan syarikat.
Saya sampai 30 minit awal, bahagian resepsi meminta saya duduk di sofa, saya terpandang sebuah majalah dan terus ambil. Ia majalah yang dikeluarkan oleh syarikat tersebut, dalaman sahaja.
Kahkah, usahawan tersebut di muka depan majalah itu berbaris dengan para Top Management dan saya terus bangun bertanya.
“Beliau ini kerja dekat sini juga?” Terus saya ajak bersembang. Haha.
Awek cun yang kerja receptionist itu jawab, “haaa bos kami tu. Dia baru masuk dalam 2-3 tahun kot.
Sejak dia masuk, banyak benda bertukar, dia rajin buat makan-makan dan rajin reward staff, ramai suka dia. Saya pun rasa best kerja.”
Malam tadi saya duk terfikir, benarlah bab-bab rezeki ini akan dipermudahkan Allah apabila kita dahulu memudahkan orang lain.
Dan sekiranya kita nak Allah itu pemurah dengan kita, kita dulu yang kena pemurah.
Sebagai suami, kena pemurah dengan isteri dan anak-anak.
Sebagai isteri, kena pemurah dengan suami dan anak-anak.
Sebagai anak (walau dah bersuami dan beristeri), kena pemurah dengan emak ayah dan emak ayah mentua.
Sebagai adik beradik, sebagai keluarga, sebagai jiran, sebagai masyarakat dan semua, kena pemurah.
Jika sedang sengkek, sedang kering, tak dapat bantu dengan duit, bantulah dengan tenaga. Boleh belaka.
Kadang-kadang kita tak perasan, yang datang kepada kita menjual dari meja ke meja itu sedang bawa sebuah kunci kepada banyaknya pintu-pintu yang boleh dibuka.
Jika tak mahu beli, hulurlah sedikit supaya ringan beban mereka. Kena ingat kawan, jika kunci itu kita tidak berjaya ambil, jangankan pintu itu boleh dibuka, entah-entah lorong ke pintu itu pun bukan main sukar kita nak hadap.
Jadilah kita orang yang stress dan banyaknya bimbang.
Apabila sampai ke telinga kita ada orang yang susah terutama ahli keluarga, itu tandanya kunci itu sedang dibawa kepada kita. Kita yang kena putuskan sama ada kunci itu sampai ke tangan kita atau tidak. Jika mahu, bantu. Jika tidak, maka melepaslah.
Benarlah, apabila kita pemurah, Tuhan beri kita kesenangan hati dengan dapat buka banyaknya pintu yang kita suka, perlu dan mahu. Kan?
Begitulah.
Khairul Hakimin Muhammad,
Suka hadiahkan senyum. Hihihi.
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10216397050824737&id=1409650354
No comments:
Post a Comment